Isnin, 17 April 2017

2.3.2 Sumbangan tokoh Al-Khawarizmi

oleh-AHMAD BIN YAAKOB
1. Al-Khawarizmi
Nama sebenar al-Khwarizmi iaah Muhammad bin Musa al-Khwarizmi. Beliau juga dikenali sebagai Abu Abdullah. Dalam kalangan orang Barat, beliau dikenali dengan nama A-Goritmi, Al-Cowarizmi atau Al-Gorism. Mendapat gelaran al-Khawarizmi kerana berasal dari Khwarizmi atau Khuway, sebuah tempat di selatan Tasik Aral di Turkistan atau kini dikenali sebagai Republik Urbekistan, bekas jajahan Soviet Union.[1]

      Al-Khwarizmi berbangsa Parsi dan dilahirkan pada tahun 780 Masihi dan meninggal dunia di Baghdad pada tahun 846 Masihi. Beliau berhijrah ke KotaBaghdad dan menghabiskan lebih dari separuh  usianya di kota tersebut.[2]

Latar belakang Al-Khawarizmi
Kepakaran beliau dalam ilmu matematik diiktiraf oleh pemerintah Abbasiyah iaitu Khalifah Harun al-Rashid yang melantiknya sebagai pakar matematik dan ahli akademik matematik di Baitul Hikmah. Khalifah al-Makmum melantik beliau sebagai pengarah arkib di perpustakaan istana. Al-Khawarizmi mengemaskini sistem perpustakaan dengan menambah indeks buku-buku di perpustakaan tersebut di Baitul Hikmah. Beliau turut bertugas mengetuai dan mengawasi kerja penterjemahan buku-buku Matematik dalam bahasa Yunani yang diperoleh daripada kerajaan Byzantine.
Al-Khawarizmi seorang tokoh Islam yang berpengetahuan luas dalam bidang falsafah, logik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan, sejarah Islam dan kimia.

SUMBANGAN
a. Matematik:
Memperkenalkan sistem nombor India (kini dikenali angkaArab) yang digunakan sehingga kini iaitu 0 hingga 9.Angka-angka tersebut menggunakan simbol-simbol yangmewakili nilai-nilai tertentu.

      Beliau memperkenaran beberapa proses pengiraan termasuk operasi dan pecahan.Tokoh pertama yang memperkenalkan algebra dan matematik. Antara cabang matematik yang diperkenalkan beliau seperti geometri, algebra, aritmetik dan lain-lain.[3]
. Memperkenalkan penggunaan angka dMemperkenalkan penggunaan angka dalam karyanya De Numero Indorum yang berkaitan dengan aritmetik. Beliau menerangkan tentang angka sifar. Dengan adanya angka sifar, operasi tambah, tolak, darab, bahagi, kuasa, log,kosinus dan lain-lain dapat diselesaikan dengan mudah,malah membolehkan ilmu sains dan teknologi berkembang dengan lebih pesat.Angka sifar yang diperkenalkan olehnya dipinjam oleh bahasa-bahasa Eropah dengan sebutan cifre,chiffre danzero.
      Melalui angka sifar akan terbitkan nombor yang mencapai infiniti.Sistem angka juga dapat dikaitkan dengan bidang lain termasuk astronomi yang membolehkan meramal gerhana, menentukan planet-planet atau planet-palent dan lain-lain.
.
     Dalam konsep algebra (aljabar - ilmu persamaan), al-Khawarizmi memperkenalkan kaedah penyelesaian tersusun dan sistematik sehingga digelar Bapa Ilmu Algebra. Karya
algebra beliau - Hisab al-Jabal wa al-Muqabalah.Bukl beliau yang memperkenalkan kaedah arimetik al-Jabar telah diterjemahkan dalam bahasa Latin dan menjadi rujukan di
universiti-universiti Eropah sejak abad ke 12 hingga 16M.

      Beliau orang pertama yang mengajar algebra dalam bentuk mudah dan menyelesaikan banyak permasalahan seperti pewarisan, pembahagian harta pusaka dan perniagaan melalui karyanya. Al-Khawarizmi telah membangunkan bidang trigonometri iaitu ilmu matematik mengenai sudut dan sempadan segi tiga yang mengandungi fungsi sin.

      Beliau menyempurnakan teori geometri yang mewakili muka keratan kon dan membangunkan kalkulus yang membanfunya menguasai konsep perbezaan.Karya beliau yang lain - Kitab al-Jam'a bil Hisab al-Hindi berkaitan dengan konsep aritmetik.[4]

Geografi :
        Dalam bidang Geografi beliau pernah menghitung Garisan Khatulistiwa bumi pada tahun 830 Masihi dan mendapati ukurannya ialah 40.248 km berbanding dengan penemuan masa sekarang 40.070 km.[5] Al-Khawarizmi telah membetulkan pandangan Ptolemy mengenai geografi termasuk dalam melakar peta dunia.Beliau adalah saintis pertama melakar peta dunia pada tahun 830M.Menghasilkan karya geografi - Kitab Surat al-Ard. Kitab ini telah diterjemahkan bersama petanya ke dalam bahasa lain.Menulis tentang takwim Yahudi yang berjudul Istikhraj Tarikh al-Yahudi.

 c. Astronomi:
. Pembangunan ilmu kaji bintang dan ilmu falak oleh Al-Khawarizmi memberi sumbangan besar terhadap kemajuan dalam bidang sains astronomi.Hasil kerjaya beliau turut meliputi ke{a-kerja berkaitan dengan jam, alatyangmenunjukkan waktu dengan bayangan matahari serta alat kaji bintang.

     Beliau banyak menghasilkankarya astronomi dan diterjemahkan ke pelbagai bahasa asing. Antaranya Kitab al-Tarikh dan Kitab al-Rukhmat (buku berkenaan alat yang menunjukkan waktu dengan bayagan matahari).Khalifah al-Makmum telah melantik al-Khawaizmi sebagai penasihat astronomi dan bertugas di balai cerap yang didirikan oleh baginda di Baghdad.[6]





[1] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd, 2014),254.
[2] Ibid,
[3] “Perkembangan intelektual Sumbangan tokoh Al-Khawarizmi”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),80.
[4] Ibid, 81.
[5] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2,256
[6] “Perkembangan intelektual Sumbangan tokoh Al-Khawarizmi”, dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah,82 

Khamis, 26 Januari 2017

STRUKTUR MASYARAKAT JAHILIAH

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Struktur Masyarakat Jahiliah
ASPEK SOSIAL
Pembahagian Masyarakat.
Masyarakat Jahiliah dapat dibahagikan kepada dua golongan, iaitu masyarakat Badwi dan masyarakat Hadari.
Masyarakat Badwi
Masyarakat Badwi merujuk kepada masyarakat yang menetap diluar bandar seperti di kampung  dan kawasan pedalaman di bahagian tengah dan utara Tanah Arab.Mereka terdiri daripada keturunan yang tidak bercampur gaul dengan kaum lain. Mereka terdiri daripada satu suku atau keturunan yang dikenali sebagai kabilah dengan institusi sosial dan politik yang tersendiri.[1]

Masyarakat Badwi tinggal menetap di satu-satu kawasan dan sering berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain.Perpindahan tersebut berdasarkan kepada aktiviti kehidupan seperti menjalankan pertanian dan penternakan, mencari tempat perlindungan di padang pasir daripada bencana ribut pasir dan mencari kawasan yang bebas daripada ancaman kabilah-kabilah lain.

      Biasanya masyarakat Arab Badwi menetap sementarta di wadi dan oasis dalam khemah yang diperbuat daripada kulit binatang dan kulit kayu. Aktiviti kehidupan  yang utama ialah menternak binatang seperti unta dan kibas.

      Sifat masyarakat Arab Badwi ialah tahan lasak, berani, keras hati, semangat gotong-royong, pemurah, amanah dan mematuhi janji. Ibn Khaldun menyatakan ,”Mereka sentiasa membawa senjata dengan bersendirian di tengah-tengah padang pasir”. Situasi tersebut menggambarkan sifat keberanian yang ada pada diri masyarakat Arab Badwi.[2]

MASYARAKAT HADARI.
Masyarakat Hadari merujuk kepada masyarakat Arab yang menetap di bandar dan pinggir bandar di bahagian Selatan Tanah Arab berhampiran Laut Merah dan Laut Hindi. Mereka terdiri daripada golongan cerdik pandai dan berasal daripada golongan  keturunan bangsawan. Mereka mempunyai hubungan yang luas dengan kabilah atau suku Arab yang lain terutama dalam hubungan perdagangan.[3]

      Corak kehidupan masyarakat Hadari berbeza dengan masyarakat Badwi.  Mereka memiliki kemewahan , kesenangan hidup dan tinggal menetap. Selain daripada perdagangan, aktiviti kehidupan mereka juga bergantung kepada pertanian  dan pertukangan . Antara kawasan penenpatan utama masyarakat Hadari ialah Makkah dan Taif sebagai pusat perdagangan, Yathrib sebagai pusat pertanian dan Yaman sebagai pelabuhan bebas.

      Walau pun masyarakat jahiliah Badwi dan Hadari terdiri daripada beberapa suku kaum, tetapi mereka berasal daripada satu keturunan sahaj, iaitu keturunan semitik.[4]         

      Sistem masyarakat sebelum Islam sama ada masyarakat Badwi atau masyarakat Hadari adalah berdasarkan kabilah. Semua anggota kabilah berasal daripada satu keturunan darah dan mereka bersatu di bawah ketua yang dikenali sebagai “Sheikh”.

      Kehidupan masyarakat Arab Zaman Jahiliah diikat oleh semangat assabiah atau fanatik kekabilahan yang merupakan asas yang kuat dalam masyarakat mereka demi kepentingan individu dan kabilah mereka. Permusuhan dan peperangan sering tercetus antara satu kabilah dengan kabilah yang lain, terutamanya disebabkan oleh perebutan mata air atau kawasan padang rumput.Mereka juga mempunyai sikap membalas dendam yang membawa kepada peperangan  dan permusuhan yang berpanjangan  ekoran daripada semangat assabiah ini.[5]

      Keinginan kepada nama, kuasa, pengaruh dan harta benda menjadi lambang kemegahan kabilah menyebabkan mereka sanggup berperang sesama sendiri. Kadang kala hanya disebabkan seekor unta, peperangan boleh berlarutan selama berpuluh-puluh tahun. Sebagai contoh peperangan yang berlaku antara suku Bakr dan suku Taghlib yang berlangsung selama 40 tahun yang berpuncadaripada seekor unta.

      Pada Zaman Jahiliah, wanita tidak diberikan tempat atau kedudukan yang sewajarnya dalam masyarakat, malahan wanita dianggap membawa sial. Oleh itu, mereka sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup dan mereka lebih suka mempunyai ramai anak lelaki.

      Hal yang sama juga berlaku kepada golongan hamba kerana mereka dipandang hina dan mempunyai staus yang rendah pada pandangan masyarakat. Pada dasarnya, sistuasi sosial sebegini berlaku kerana masyarakat Arab berada dalam kegelapan daripada sebarang petunjuk agama yang benar dan mengalami keruntuhan akhlak menyebabkan mereka sering melakukan kemaksiatan dan kemungkaran.[6]
  
ASPEK EKONOMI
      Keadaan geografi dan ketidakstabilan politik Semenanjung Tanah Arab tidak mengizinkan orang Arab mencipta kemajuan ekonomi  terutama masyarakat Badwi yang hidup secara berpindah-randah. Kegiatan ekonomi utama masyarakat Arab Badwi ialah menternak binatang secara nomad. Antara binatang yang diternak ialah unta,kambing dan biri-biri. Mereka hidup berpindah-randah untuk mencari kawasan rumput dan air bagi binatang ternakan mereka.

      Unta ialah binatang yang penting bagi masyarakat ini kerana unta dijadikan sebagai alat tunggangan dan alat mengangkut barang selain membekalkan susu, bulu dan belulang. Selain menternak binatang , terdapat sebahagian daripada mereka yang melakukan aktiviti bercucuk tanam di kawasan oasis.

      Selain itu terdapat juga sebahagian orang Arab Badwi yang menjalankan aktiviti rompakan dalam kalangan kafilah  pedagang yang merentasi padang pasir. Corak ekonomi masyarakat Badwi ini melambangkan kehidupan mereka yang primitif. [7]

            Sementara itu, penduduk di kota seperti Makkah dan Madinah pula kebanyakkannya bergantung pada perniagaan. Umpamanya orang Quraisy berniaga hingga ke Syam, Yaman, Habsyah dan Mesir. Aktiviti ekonomi yang lain sperti pertukangan dan kerja-kerja tangan termasuk tukang besi tidak mendapat perhatian utama bagi masyarakat Arab terutama masyarakat Badwi.

      Oleh hal yang demikian  jurang antara golongan kaya dengan golongan miskin amat luas sekalidan jelas menyebabkan berlakunya permusuhan  antara kedua-dua golongan ini. Permusuhan ini berlarutan hingga menimbulkan huru-hara dan pergaduhan yang mengakibatkan ekonomi gagal berkembang.[8]

ASPEK POLITIK
      Pada zaman jahiliah, tidak terdapat sebuah kerajaan yang mempunyai struktur pemerintahan yang teratur dan sistematik. Masyarakat Badwi hidup dalam kabilah yang merupakan satu kelompok masyarakat yang mempunyai sistem dan peraturan tersendiri. Pada mulanya mereka membentuk sebuah keluarga kecil yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak-anak yang dikenali sebagai a’ilah. Oleh kerana mereka tinggal dalam khemah-khemah berdekatan dan berlaku interaksi sosial yang berdasarkan agama, bahasa dan keturunan , maka terbentuklah hayy. Penyatuan beberapa hayy yang juga berdasarkan interaksi, agama, bahasa dan keturunan maka terbentuk pula kabilah. Kabilah ialah penyatuan masyarakat melalui satu agama, bahasa dan keturunan.

      Setiap kabilah mempunyai institusi tersendiri dengan melantik seorang ketua yang dikenali sebagai syeikh bagi menerajui dan mengetuai pentadbiran dalam kabilah. Biasanya ketua dilantik daripada golongan bangsawan yang berwibawa tinggi dalam semuaaspek seperti berani, pintar, berilmu, dihormati dan sebagainya.[9]     

      Organisasi politik yang terdapat dalam masyaraka jahiliah sangat sederhana, iaitu berdasarkan kepada kekuasaan yang ada pada seseorang ketua. Dalam menjalankan pentadbiran ketua tidak mempunyai kuasa politik sepenuhnya kerana segala keputusan adalah berdasarkan kehendak bersama. Ketua hanya menjalankan tugas yang telah diputuskan. Dalam pada itu sistem politik masyarakat hadari lebih stabil jika dibandingkan dengan masyarakat Badwi.

      Dlam bidang perundangan, masyarakat jahiliah tidak mempunyai sistem perundangan yang sistematik. Hanya undang-undang membalas dendam san semangat kesukuan. Contohnya sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh sesuatu suku kepada suku yang lain, hukumannya ialah membalas dendam. Kelemahan dalam pentadbiran dan kedudukan politik masyarakat jahiliah tergugat kerana penjajahan kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi di Bahagian Utara dan Rom, Habsyah dan Parsi di Bahagian Selatan. Makkah tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa.[10]




[1] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd,2015),7.
[2] Ibid,7.
[3] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd,2015) 7.
[4] Ibid.
[5] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, 2015), 5.
[6]Ibid.
[7] Mohd Sukki Othman dan Wan Muhammad  Wan Sulong ,Teks Pra U STPM Sejarah Penggal 2, (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia Sdn. Bhd, 2014), 6.
[8] Ibid.
[9] Mahdi Shuid, Sazlina Othman dan Arjuna @ Mohd. Noor Yunus, Teks STPM Pra U Sejarah  Islam Penggal 2, (Bandar Baru Bangi:Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd,2015),9.
[10] Ibid.

Khamis, 22 Disember 2016

Konsep Jahiliah

SEJARAH  ISLAM (500 - 1918)
Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
1 Masyarakat, Pemerintahan,Pertahanan, dan Perhubungan Luar
1.1  Masyarakat jahiliah Semenanjung Tanah Arab (abad ke-6) STPM 2013
(a)    menjelaskan konsep dan struktur masyarakat jahiliah.
MASYARAKAT JAHILIAH
Konsep Jahiliah
       AI-Quran tidak membatasi masa bagi zaman jahiliah, tetapi hanya sekadar menyatakan secara umum ruang lingkup zaman tersebut dengan ungkapan,Jahiliah yang dahulu. Dalam kamus-kamus Arab juga hanya menyatakan bahawa zaman Jahiliah ialah zaman sebelum Islam, iaitu zaman sebelum turunnya al-Quran .Dalam konteks masyarakat Arab, zaman yang dipanggil zaman jahiliah ialah zaman selepas keruntuhan kerajaan Saba'. Pada masa itu tiada nabi yang diutus dan tiada kitab suci daripada Allah SWT untuk dijadikan petunjuk pada masa yang sama, tiada ciri-ciri ketamadunan atau pembangunan fizikal yang melambangkan peradaban yang tinggi. Lebih tepat, zaman jahiliah bermula selepas kejatuhan kerajaan Saba’ peringkat ketiga atau peringkat akhir  pemerintahan  Himyar pada tahun 300 M dan berakhir setelah turunnya kitab suci al-Quran dan kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahun 610 M. Dalam tempoh kira-kira tiga abad iatu masyarakat Arab pada amnya, telah.mengalami zaman keruntuhan bukan sahaja dari segi agama dan akhlak tetapi juga dari segi politik, ekonomi, sosial dan ilmu pengetahuan.[1]

Konsep Jahiliah.[Hasil pembelajaran:menjelaskan konsep jahiliah]
Perkataan Jahiliah berpunca daripada akar kata jahala dan kata terbitan jahlun atau jahlatun yang bererti bodoh dan sesat.[2]
Berdasarkan al-Quran, ciri-ciri jahiliah dapat dirumuskan kepada empat, iaitu:
(a)zaman yang tidak mempunyai nabi dan kitab suci sebagai petunjuk.
(b) masyarakatnya tidak mempunyai peradaban dan tamadun.
(c ) masyarakatnya tidak berakhlak, bersikap angkuh dan bongkak.
(d )masyarakatnya jahil kerana tidak boleh menulis dan membaca.
Jika satu daripada sifat-sifat tersebut terdapat pada sesuatu zaman atau masyarakat tersebut boleh dianggap masyarakat jahiliah.Berdasarkan pengertian tersebut, kebenaran pendapat orientalis Barat seperti P. K. Hitti tentang makna jahiliah boleh disangkal.Menurut P. K. Hitti, masyarakatArab jahiliah hanya jahil dari segi agama dan kepercayaan tetapi maju dari segi ilmu pengetahuan dan mempunyai tamadun yang tinggi.[3]

       Pendapat P. K. Hitti tentang makna jahiliah dari segi ketepatan sejarah juga boleh dipersoal. Ini kerana kerajaan Saba' pada Zaman kegemilangannya (pada zaman Ratu Balqis) telah menerima ajaran Nabi Sulaiman a.s. dan Allah SWT menganugerahkan kerajaan Saba' sebagai "negeri yang makmur dan mendapat pengampunan Tuhan". Setelah kerajaan ini ingkar kepada Allah SWT, maka Allah SWT telah menurunkan bala dan kerajaan ini mengalami keruntuhan.Di Semenanjung Tanah Arab, zaman yang paling layak digelar zaman jahiliah ialah zamaln selepas keruntuhan kerajaan Saba', iaitu sekitar tahun 300 M hingga kerasulan Nabi Muhammad SAW pada tahun 610 M. Dalam tempoh masa ini, tiada rasul dan tiada kitab suci diturunkan sebagai petunjuk.Pada zaman jahiliah, masyarakat Arab berada dalam kekufuran, kemaksiatan, keangkuhan dan kejahilan dalam ilmu pengetahuan.[4]



[1] Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),3.
[2] Mahayudin  Hj. Yahya et.al.,Sejarah Islam  (500-1918) Penggal 2, Edisi Ketiga, (Shah Alam:Oxford Fajar,2013),2.
[3]Mahayudin Hj Yahya, Tamadun Islam ,(Shah Alam:Oxford Fajar ,1998),5.
[4]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,6.